Friday, February 20, 2009

Pengurusan Cinta



Bismillahirrahmanirahim.



Seperti yang saya janjikan, pada kali ini saya akan membicarakan bagaimana sepatutnya kita menguruskan cinta. Sebenarnya apa yang saya paparkan di sini adalah berdasarkan pembacaan saya dan ceramah yang saya dengar serta penulisan ini juga merupakan lanjutan daripada tugasan yang diamanahkan kepada saya. Untuk sahabat-sahabat semua, tujuan saya membicarakan hal ini adalah kerana saya melihat percintaan sebagai satu saluran kepada permasalahan sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita.Kerana cinta, ramai yang sanggup menggadai maruah, ramai yang sanggup berpisah dengan keluarga, sanggup membunuh dan entah apa lagi bahana yang menanti sekiranya cinta tidak diurus dengan betul. Sedangkan ketahuilah saudara-saudara sekalian, cinta itu sesuatu yang indah, yang murni, anugerah dan seharusnya dibajai dalam kondisi yang betul agar bertambah keberkatannya.

1. Bercintalah kerana ALLAH
Wahai saudara sekalian, sesungguhnya cinta itu merupakan anugerah yang dikurniakan oleh ALLAH sebagai fitrah kita manusia. Jadi seharusnya kita bila bercinta, cubalah tanamkan niat dalam hati dan diri kita, biarlah kerana Allah semata, dan moga-moga dengan itu kita terlindung jerat cinta nafsu. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud:
“Barangsiapa mencintai kerana ALLAH dan membenci kerana ALLAH, maka sempurnalah imannya.”

Oleh itu wahai saudara,sekiranya kita inginkan iman yang sempurna cubalah mencintai atau membenci apa jua sekalipun biarlah kerana Allah.

2. Janganlah cinta kepada manusia melebihi kecintaan kepada Pencipta
Dalam soal percintaan, seharusnya kita kena berani menegur kesilapan pasangan masing-masing. Jangan kerana takut kehilangannya kita membiarkan sahaja kejahilan bertakhta dalam sanubarinya. Ingatlah wahai saudara, sesungguhnya kita diberi nikmat percintaan bukan semata-mata untuk memenuhi keperluan biologis atau jasadiah semata-mata, malah ia juga satu anugerah dan peluang untuk kita saling membaiki diri dan ia juga satu cinta dari Tuhan Pencinta. Oleh yang demikian, pasangan yang baik tidak seharusnya mengemudi sebuah percintaan ke arah kebinasaan. Tapi malangnya hari ini, kita terleka dan sering kali kita jatuh dalam jurang cinta nafsu sehingga kita tak berani mengatakan “inni akhafullah (saya takutkan Allah)” apabila jelas pasangan mengajak kepada kemungkaran. Seseorang yang cintakan Allah melebihi kecintaan kepada pasangan tidak akan gentar diugut untuk ditinggalkan jika tidak memenuhi nafsu buruk pasangan, tidak takut menolak pelawaan untuk sama membonceng, tidak takut untuk menolak bermesra-mesraan dan sebagainya.

3. Ikutah saluran yang betul
Ketahuilah saudara bahawa percintaan yang sebenar-benarnya ialah antara suami dan isteri dan bukan antara teman lelaki dan teman wanita. Allah s.w.t telah menegaskan batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam Kitab-Nya dan begitu juga dengan hadis yang menyeru melangsungkan perkahwinan apabila kita mampu demi menjaga hubungan yang indah ini. Oleh yang demikian, sekiranya anda sudah mampu untuk berkahwin, usahlah ditangguhkan demi menjaga kesucian cinta, tetapi jika anda tidak mampu, cubalah menahan diri daripada melakukan kemungkaran seperti melakukan ibadah puasa dan banyakkan berdoa sehingga Allah menolong anda. Begitulah Rasulullah menyarankan kepada kita sebagaimana yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

“ Wahai para pemuda, sesiapa yang sudah bersedia berkahwin, hendaklah dia segera berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu boleh menghalang pandangan (kepada yang dilarangoleh agama) dan memelihara kehormatan. Dan barangsiapa yang tidak sanggup, hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu benteng baginya.”

Begitulah saudara sepatutnya kita menguruskan cinta. Yang paling penting ialah kita menjaga dan membersihkan hati kerana itulah raja yang mengawal tubuh badan kita. Jika hati kita dikuasai nafsu untuk bercinta semata-mata, nescaya kita adalah hamba yang rugi. Sebenarnya banyak lagi perkara yang perlu kita ketahui dalam menguruskan percintaan tetapi saya rasa cukuplah sekadar membuka minda anda dalam soal percintaan. Dan renungilah kata-kata saya, jika anda memilih seseorang untuk hidup bersama kerana cinta, lambat laun rasa cinta akan hilang tetapi jika akan memilih seseorang untuk hidup bersama kerana Allah dan agamanya, insyaAllah kalian akan bahagia. Wallahu’alam.


No comments: