Saturday, February 21, 2009

Hati-hati bila terima rawatan

Bismillahirrahmanirahim…

Saya sungguh terkejut dan marah apabila membaca satu artikel yang dipostkan dalam blog Saifulislam. Berikut saya paparkan mesej yang dihantarkan oleh pengunjung dalam blog berkenaan:

“Assalamualaikum. Saya nak tanya, baru-baru ini saya ada ke hospital untuk membuat pemeriksaan kerana ada sedikit bintil di bahagian lengan. Kata doktor itu, ia masalah kelenjar. Apa yang pelik, ketika doktor itu membuat pemeriksaan, dia menanggalkan pakaian saya. Ketika itu hanya kami berdua dalam bilik tersebut. Saya tidak mengesyaki apa-apa. Doktor tersebut ada menggesel alat sulit saya dan berkata sedap kalau kahwin. Saya terkedu… adakah ini dibenarkan dalam etika kedoktoran?” tanya seorang pengunjung di blog ummusaif.com

Oppss! Maafkan saya, jika memaparkan kes ini dalam blog ini tetapi bagi saya ia sungguh mendukacitakan apabila seorang mangsa salah laku seksual tidak sedar bahawa kehormatan mereka telah dicabul. Dan masalah yang berlaku bukan lagi setakat berkaitan dengan etika tetapi ia juga berkaitan dengan maruah wanita. Dan untuk pengetahuan semua, mangsa adalah seorang pelajar di IPTA dalam jurusan agama. Tidakkah kalian merasakan bahawa maruah agama sedang diinjak-injak!?Sebenarnya saya pernah terbaca satu kes yang hampir serupa dalam surat khabar yang berlaku beberapa bulan lalu. Kes ini berkenaan seorang wanita yang mendakwa dirinya dicabul oleh petugas x-ray ketika menjalani rawatan. Pada masa itu, mungkin saya kurang mempercayai dengan laporan sebegitu dan berharap benda tersebut tidak benar. Tetapi kini saya sudah mula bimbang kerana ia adalah satu pencabulan secara tidak sedar jika benar perkara ini berlaku. Sebagai pesakit kita ada hak untuk mendapatkan butiran tentang rawatan yang bakal kita terima. Saya juga sedang cuba mendapatkan maklumat tentang bagaimana rawatan scan, x-ray dan sebagainya dijalankan. Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan, diharapkan dapat berkongsi dalam blog ini. Jadi, bagi sesiapa mengalami penyakit yang memerlukan pemeriksaan seumpama itu, saya harap anda sedar tentang apa yang berlaku dan berhati-hati bila menerima rawatan. Anda ada hak untuk menjaga maruah anda dan seeloknya bila mendapatkan rawatan, carilah pakar yang sama jantina. Moga ALLAH melindungi kita.

Friday, February 20, 2009

Gilap Mutiara Biar Jadi Permata

Bismillahirrahmanirahim..

Sudah seminggu berlalunya program motivasi bagi subjek pengurusan yang kami jalankan di SMT Slim River. Program ini disertai oleh pelajar tingkatan 5, yang terdiri dari pengawas sekolah, pustakawan, ketua dan penolong kelas serta PRS. Satu pengalaman yang menarik dan menyeronokkan apabila mengendalikan program sebegini. Kadang-kala kita akan belajar sesuatu yang baru, yang mana kita tak pernah terfikir untuk mempelajarinya. Walaupun boleh dikatakan masih baru mengendalikan program, dan timbul sedikit masalah yang mana resam dalam mengendalikan program, Alhamdulillah segala masalah tersebut dapat kami atasi. Nasihat saya untuk rakan-rakan yang bakal menjalankan program yang sama, apabila kita bekerja dalam satu kumpulan..anggaplah masing-masing sebagai satu perasa dalam satu masakan. Ada yang manis, pahit, masin, dan masam. Apabila semua ada, ia akan menghasilkan satu masakan yang sempurna tetapi jika semuanya mempunyai rasa yang manis..maka sudah tentu si pemakannya akan kencing manis..hehe. Jadi apa yang saya ingin tegaskan cubalah fahami keunikan setiap ahli kumpulan dan bekerjasamalah dengan baik. Mudah-mudahan masakan yang dihasilkan menjadi hidangan yang sempurna. Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada semua peserta dan pihak sekolah di atas kerjasama yang diberikan dan sejuta tahniah kepada ahli kumpulan saya iaitu Zam, Sytah, Areda, Chik, Ain, Madi, Ta, Na dan Za yang memberikan komitmen yang baik sepanjang menjalankan program bekenaan.
Syukran



Pengurusan Cinta



Bismillahirrahmanirahim.



Seperti yang saya janjikan, pada kali ini saya akan membicarakan bagaimana sepatutnya kita menguruskan cinta. Sebenarnya apa yang saya paparkan di sini adalah berdasarkan pembacaan saya dan ceramah yang saya dengar serta penulisan ini juga merupakan lanjutan daripada tugasan yang diamanahkan kepada saya. Untuk sahabat-sahabat semua, tujuan saya membicarakan hal ini adalah kerana saya melihat percintaan sebagai satu saluran kepada permasalahan sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita.Kerana cinta, ramai yang sanggup menggadai maruah, ramai yang sanggup berpisah dengan keluarga, sanggup membunuh dan entah apa lagi bahana yang menanti sekiranya cinta tidak diurus dengan betul. Sedangkan ketahuilah saudara-saudara sekalian, cinta itu sesuatu yang indah, yang murni, anugerah dan seharusnya dibajai dalam kondisi yang betul agar bertambah keberkatannya.

1. Bercintalah kerana ALLAH
Wahai saudara sekalian, sesungguhnya cinta itu merupakan anugerah yang dikurniakan oleh ALLAH sebagai fitrah kita manusia. Jadi seharusnya kita bila bercinta, cubalah tanamkan niat dalam hati dan diri kita, biarlah kerana Allah semata, dan moga-moga dengan itu kita terlindung jerat cinta nafsu. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud:
“Barangsiapa mencintai kerana ALLAH dan membenci kerana ALLAH, maka sempurnalah imannya.”

Oleh itu wahai saudara,sekiranya kita inginkan iman yang sempurna cubalah mencintai atau membenci apa jua sekalipun biarlah kerana Allah.

2. Janganlah cinta kepada manusia melebihi kecintaan kepada Pencipta
Dalam soal percintaan, seharusnya kita kena berani menegur kesilapan pasangan masing-masing. Jangan kerana takut kehilangannya kita membiarkan sahaja kejahilan bertakhta dalam sanubarinya. Ingatlah wahai saudara, sesungguhnya kita diberi nikmat percintaan bukan semata-mata untuk memenuhi keperluan biologis atau jasadiah semata-mata, malah ia juga satu anugerah dan peluang untuk kita saling membaiki diri dan ia juga satu cinta dari Tuhan Pencinta. Oleh yang demikian, pasangan yang baik tidak seharusnya mengemudi sebuah percintaan ke arah kebinasaan. Tapi malangnya hari ini, kita terleka dan sering kali kita jatuh dalam jurang cinta nafsu sehingga kita tak berani mengatakan “inni akhafullah (saya takutkan Allah)” apabila jelas pasangan mengajak kepada kemungkaran. Seseorang yang cintakan Allah melebihi kecintaan kepada pasangan tidak akan gentar diugut untuk ditinggalkan jika tidak memenuhi nafsu buruk pasangan, tidak takut menolak pelawaan untuk sama membonceng, tidak takut untuk menolak bermesra-mesraan dan sebagainya.

3. Ikutah saluran yang betul
Ketahuilah saudara bahawa percintaan yang sebenar-benarnya ialah antara suami dan isteri dan bukan antara teman lelaki dan teman wanita. Allah s.w.t telah menegaskan batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam Kitab-Nya dan begitu juga dengan hadis yang menyeru melangsungkan perkahwinan apabila kita mampu demi menjaga hubungan yang indah ini. Oleh yang demikian, sekiranya anda sudah mampu untuk berkahwin, usahlah ditangguhkan demi menjaga kesucian cinta, tetapi jika anda tidak mampu, cubalah menahan diri daripada melakukan kemungkaran seperti melakukan ibadah puasa dan banyakkan berdoa sehingga Allah menolong anda. Begitulah Rasulullah menyarankan kepada kita sebagaimana yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

“ Wahai para pemuda, sesiapa yang sudah bersedia berkahwin, hendaklah dia segera berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu boleh menghalang pandangan (kepada yang dilarangoleh agama) dan memelihara kehormatan. Dan barangsiapa yang tidak sanggup, hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu benteng baginya.”

Begitulah saudara sepatutnya kita menguruskan cinta. Yang paling penting ialah kita menjaga dan membersihkan hati kerana itulah raja yang mengawal tubuh badan kita. Jika hati kita dikuasai nafsu untuk bercinta semata-mata, nescaya kita adalah hamba yang rugi. Sebenarnya banyak lagi perkara yang perlu kita ketahui dalam menguruskan percintaan tetapi saya rasa cukuplah sekadar membuka minda anda dalam soal percintaan. Dan renungilah kata-kata saya, jika anda memilih seseorang untuk hidup bersama kerana cinta, lambat laun rasa cinta akan hilang tetapi jika akan memilih seseorang untuk hidup bersama kerana Allah dan agamanya, insyaAllah kalian akan bahagia. Wallahu’alam.


Wednesday, February 11, 2009

Sekadar Nasihat Untuk Kaum Hawa

1. Untuk membentuk bibir yang menawan, ucapkan kata-kata kebaikan.
2. Untuk mendapatkan mata yang indah, carilah kebaikan pada setiap orang yang anda jumpai.
3. Untuk mendapatkan bentuk badan yang langsing, berbagilah makanan dengan mereka yang kelaparan.
4. Untuk mendapatkan rambut yang indah, mintalah seorang anak kecil untuk menyisirnya dengan jemarinya setiap hari.
5. Untuk mendapatkan sikap tubuh yang indah, berjalanlah dengan segala ilmu pengetahuan, dan anda tidak akan pernah berjalan sendirian. Manusia, jauh melebihi segala ciptaan lain, perlu senantiasa berubah, diperbaharui, dibentuk kembali, dan diampuni.
6. Jadi, jangan pernah kecilkan seseorang dari hati anda apabila anda sudah melakukan semuanya itu, ingatlah senantiasa, jika suatu ketika anda memerlukan pertolongan, akan senantiasa ada tangan terulur.
7. Dan dengan bertambahnya usia anda, anda akan semakin mensyukuri telah diberi dua tangan, satu untuk menolong diri anda sendiri, dan satu lagi untuk menolong orang lain.
8. Kecantikan wanita bukan terletak pada pakaian yang dikenakannya, bukan pada bentuk tubuhnya, atau cara dia menyisir rambutnya.
9. Kecantikan wanita terdapat pada matanya, cara dia memandang dunia. Kerana di matanyalah terletak gerbang menuju ke setiap hati manusia, di mana cinta dapat berkembang.
10. Kecantikan wanita, bukan pada kehalusan wajahnya, tetapi kecantikan yang murni, terpancar pada jiwanya, yang dengan penuh kasih memberikan perhatian dan cinta yang dia berikan dan kecantikan itu akan tumbuh sepanjang waktu.



Tips Cinta ini dipetik dari www.tentangcinta.com

Saturday, February 7, 2009

Palestin: Hanya sebuah cerita..

Sudah sebulan berlansungnya peperangan antara Hamas dan tentera Israel laknatullah. Ketika mula-mula serangan dilancarkan, ramai orang marah dan mengutuk tindakan Israel itu. Tidak kurang yang melaungkan slogan Hancur Israel dan tidak kurang pula yang menggesa agar semua produk Israel disekat. Hari ini, pencerobohan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin masih terus berlaku. Namun, semangat menghancurkan Israel tidak seperti di awal berlakunya pencerobohan. Lihat sahaja di restoran Mc Donald, KFC dan tidak kurang yang membeli barangan keluaran syarikat Israel atau sekutunya. Kadang-kala apabila kita ke restoran makan, kita sering memesan Nescafe, milo dan sebagainya…sedangkan barangan tersebut adalah keluaran Nestle iaitu sebuah syarikat yang ddipercayai menyalurkan dana kepada Israel. Menjadi persoalan kepada kita apakah semangat perjuangan kita sekadar hangat-hangat tahi ayam? Atau kita masih tidak sedar tentang realiti yang berlaku? Di mana kita letak tanggungjawab kita sebagai saudara semuslim? Atau kita menjaja isu palestin sekadar sebuah cerita? Usah ditanya samaada kita berani atau tidak untuk turut sama berjuang sekiranya diberi pilihan, kerana jawapannya sudah pasti tidak! Kerana kita iman kita tidak cukup kuat untuk itu..kita tidak rasa seperti penduduk Palestin rasa..kita terlalu dilimpahkan dengan nikmat sehingga kita tidak berani berkorban walau sekadar berkorban untuk berhenti membeli barangan keluaran Israel…kita tidak cukup kisah tentang nasib Palestin, kerana kita sanggup menyumbangkan dana kepada Israel untuk membeli peluru yang memamah tubuh kanak-kanak Palestin! Bukankah begitu??? Kita sanggup meneguk Coca-Cola yang merah seperti darah rakyat Palestin..kita sanggup meratah ayam McDonald dan KFC yang umpama daging tentera Hamas! Sampai bila?? Saya cukup terkilan apabila ada orang yang mencipta pelbagai alasan dan mencari dalih yang kononnya barangan yang disenaraikan sebagai keluaran Israel tidak menyumbang kepada yahudi laknaktullah tersebut…hanya semata-mata keinginan nafsu mereka! Jadi, marilah kita sama-sama hancurkan Israel, lumpuhkan ekonominya dan sekutu mereka…pulaukan barangan Israel dan sekutunya buat selama-lamanya. Bukan hanya ketika pencerobohan berlaku!! Jangan biarkan isu Palestin hanya sebagai sebuah cerita…

sila layari http://hendrastar.wordpress.com/2009/01/09/boikot-israel-amerika-senarai-barangan-produk-israel-amerika/untuk mendapatkan keterangan tentang syarikat dan produk Israel

Friday, February 6, 2009

bicara tentang cinta

Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah, sebentar tadi baru shj brlansung forum perdana yang brtajuk "Berpaut di Dahan Cinta". Saya ketinggalan untuk mengikuti sepenuhnya forum berkenaan tetapi saya ingin berkongsi dengan pembaca tentang sesuatu yang saya rasa sangat berguna dan boleh menjadi rumusan kepada keseluruhan forum berkenaan. Saya tidak menyatakan seratus peratus apa yang disampaikan oleh penceramah kerana saya tidak membuat catatan, tapi saya cuba mengulas mengikut kefahaman saya yang mana ia tidak menyelewang dari intipati ceramah. Pertama, mengenai jodoh dan usaha...seorang audien bertanya, perlukah kita mencari cinta atau perlukah kita berusaha pada kita seorang yang menolak budaya couple dan membenci perkara maksiat. Soalan kedua, adakah perkahwinan adalah jalan terbaik untuk mengelakkan maksiat? Kedua-dua ahli panel telah menjawab soalan berkenaan dengan baik. Mengenai jodoh, ia adalah berkaitan urusan Tuhan. tapi apa yang yang penting kita perlu berusaha untuk mencarinya. Sesuatu benda walaupun milik kita jika kita tidak mencarinya, ia tidak akan datang bergolek kepada kita. begitu juga sesuatu yang milik kita, kalau kita tidak menjaganya dengan elok lambat laun ia akan terlepas dari genggaman kita. Baik, mungkin ada yang berpendapat...dah bukan rezki. Dari satu sudut, mungkin betul tapi dari sudut lain pula kita seolah meletakkan kesalahan pada takdir, tapi dimana pula kita usaha kita?? Jadi yang penting kita perlu berusaha untuk mencarinya mengikut cara yang betul. Jadi disini pentingnya pengurusan cinta supaya kaedah yang kita gunakan tidak menjebakkan diri kita ke lembah maksiat. Saya tidak akan bercakap bagaimana nak mengurus cinta dengan betul atau bagaimana kaedah yang betul, insyaAllah pada lain masa saya cuba menulis tentang perkara ini. Persoalan kedua, mengenai perkahwinan. Perkahwinan adalah jalan yang betul untukmenyalurkan rasa cinta kita. Perkahwinan mungkin jalan yang terbaik untuk menenangkan gelojak nafsu. Namun apakah kesannya, jika kita berkahwin semata-mata untuk mengelak diri berlaku maksiat. Bukan maksud saya, anda tidak boleh berkahwin kerana taknak berlaku maksiat malah saya menyokong usaha anda, tetapi saya cuba menarik perhatian anda...apakah perkahwinan anda semata-mata untuk menunaikan keperluan batin anda? keperluan nafsu? atau kerana lemahnya iman anda, kerana tak dapat menahan diri dari perkara mungkar. Tidakkah anda melihat perkahwinan itu satu kemuncak cinta yang agung? yang menjadi anugerah kepada makhluk pencinta dari Tuhan Pencinta?? Sekadar berkongsi dengan anda...saya sendiri pun sering kali berfikir, saya perlu berkahwin secepat mungkin untuk menggelakkan berlakunya maksiat. Baru hari ini, saya sedar rupanya, jika saya berahwin semata-mata untuk mengelakkan maksiat rupanya jati diri saya lemah, iman saya lemah. Bagaimana selepas perkahwinan pun saya masih tidak dapat mengawal gelojak nafsu saya? Sedangkan cabaran dunia yang penuh dengan saluran maksiat sentiasa menuntut kita ke arah itu. Jadi, bagi saya...saya rasa dan mungkin pembaca seharusnya mengiyakan, kita seharusnya menyiapkan diri kita dengan takwa dan ilmu sebelum kita melansungkan perkahwinan, kerana dengan keimanan yang tinggi sahaja yang boleh mencegah diri kita dari perlakuan mungkar. Kita seharusnya menumpukan rasa cinta kita kpd Allah s.w.t sebelum kita mencintai makhlukNya. Apabila kita berkahwin setelah memiliki cinta Ilahi,yang mana tujuan kita berkahwin bukan lagi semata-mata kerana tuntutan nafsu tetapi semata-mata kerana Allah dan kerana ingin mengikuti sunnah Rasul, insyaAllah..rumah tangga yang kita bina akan bahagia. Oleh itu, perlengkapkan diri dengan sebaiknya sebelum kita melangkah ke gerbang perkahwinan.

Tuesday, February 3, 2009

kesaktian cinta

Sukar dinilai dengan materi
Hanya hati budi yang kan mengerti
Kala terpancar dari naluri
Bersinar semesta ruang dan masa

Disentuh kesaktian cinta
Pengorbanan menjadi rela
Kala meresapi jiwa
Disentuh kesaktian cinta
Anugerah yang tak tertara
Kala hadirnya ia

Resah merindu meronta kalbu
Hanya jaji setia sabda ditunggu

Disentuh kesaktian cinta
Seringkali jiwa mendamba
Kehadiran dirinya
Disentuh kesaktian cinta
Meresap segala yang indah
Dari rona dunia

Dihinggap kesaktian cinta
Pengorbanan menjadi rela
Menghadapi segala
Dihinggap kesaktian cinta
Anugerah yang tiada tara
Syukurilah hadirnya

Dihinggap kesaktian cinta
Seringkali jiwa mendamba
Bayang kehadirannya
Dihinggap kesaktian cinta
Meresap segala yang indah
Dari rona dunia

Disentuh kesaktian cinta
Pengorbanan menjadi rela
Mengharungi segala
Disentuh kesaktian cinta
Anugerah yang tiada tara
Penawar duka lara...

=) sebuah lagu yang cukup mendamaikan hati yang sedang berbunga..huhu

sehari di alam kedewasaan


"Satu hari saya terbangun dari tidur. Saya rasa saya telah bemimpi panjang dan terlalu lama tidur. Kemudian saya mula berfikir tentang mimpi yang muncul ketika saya tidur. Terlalu kacau. Saya Mengambil keputusan untuk tidak memikirkannya. Setelah itu, saya mengambil tuala dan berdiri di hadapan cermin. Wajah dalam cermin sangat menakutkan. Saya sedar akan perbezaan wajah sebelum ini dan ketika ini. Sungguh berbeza."
Apa yang saya sampaikan mungkin sekadar metafora. Saya cuma merasakan sudah terlalu lama kita leka dalam kehidupan tanpa sebarang kejayaan yang boleh dibanggakan. Alam remaja sudah berlalu, kini alam dewasa perlu dijelajahi. Apakah perlu kita mengulangi kegagalan di waktu remaja?? persoalan ini sudah lama terdetik di benak hati...ya, saya perlu berubah! saya perlu berani mencipta sejarah! Saya rasa kita tak perlu memandang berat tentang kesilapan kita, kerana kita perlu bebas dari tekanan. Erm.. mungkin tekanan boleh jadi motivasi tapi pandanglah ia sekadar peringatan. Mencipta perubahan dalam hidup perlukan kesedaran. Kita perlu berani menghadapi kenyataan. Mungkin kita akan berhadapan dengan pelbagai ragam manusia...ada yang senang dengan kita dan mungkin tidak kurang yang tidak senang dengan kita. Tapi ini bukan bermakna kita perlu lari dari tanggungjawab kita...kepada diri sendiri, kepada masyarakat...Yang penting kita sedar kita perlu merubah hari ini untuk kejayaan hari esok..mulakan dengan langkah kecil, susulkan dengan perilaku besar untuk mencipta kejayaan yang sebenar!